Rabu, 8 Januari 2020

AL-IMAM ABDULLAH AL-HADDAD


Buta Mata Celik Hati

  Al-Allamah al-Imam al-Sayyid al-Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad al-Alawi al-Husaini (lebih dikenali sebagai Habib Abdullah al-Hadad) adalah seorang ahli dakwah, pengarang, sufi, mursyid dan imam zamannya yang selalu berjuang memberikan bimbingan keagamaan dengan lidah dan penanya sehingga menjadi pemimpin dan tempat rujukan bagu masyarakat muslim dalam menuntut ilmu agama.

  Habib al-Hadad dibesarkan dibawah pengawasan ketat ayahandanya Sayyid Alwi bin Muhammad al-Hadad, lebih-lebih lagi setelah berusia empat tahun, kedua-dua matanya buta akibat penyakit cacar. Berkat perhatian khusus dan kasih sayang yang dicurahkan oleh ayahandanya, disamping bakat dan kecerdasan otaknya, ia membesar menjadi pemuda yang dikagumi. Allah s.w.t telah menggantikan penglihatan zahirnya dengan penglihatan batin, di samping kemampuan menghafal yang sangat kuat.

Rutin Pemuda Buta
  Pada permulaa perjalanan hidup al-Imam beliau menyusuri negerinya bertemu para solihin, menziarahi pusara para ulama dan aulia. Pada masa beliau berada di perkampungannya, beliau sering duduk di sudut Masjid al-Hijriah dan waktu malam beliau sering solat bergiliran di setiap masjid Kota Tarim.

  Pada masa mudanya itu, seperti diceritakan orang yang mengenalinya, beliau lebih cenderung menjauhkan diri daripada cara hidup remaja seusianya. Pada waktu-waktu tertentu, beliau sering menyendiri di tempat-tempat sunyi, di lembah-lembah dan bukit-bukit sekitar Tarim untuk bertafakur dan beribadat. 

  Walaubagaimanapun kebiasaanya itu tidak mengurangi ketekunan dalam menuntut ilmu, dari masjid ke masjid dan dari sebuah kota ke sebuah kota, mendengar dengan saksama dan menimba ilmu daripada sejumlah guru yang masing-masing memiliki kepakaran dalam bidang mereka. Malah setiap hari, selepas mengikuti pelajaran ia menunaikan solat sunat di masjid tidak kurang dari 100 rakaat sehari.

 Satu pemadangan biasa bagi orang yang dalam perjalanan antara Tarim dan Seiwun, menyaksikan seorang pemuda buta berjalan sendirian di malam-malam yang sepi, antara lain untuk berziarah ke makam al-Imam Ahmad al-Muhajir di desa Husaisah. Selesai berziarah ia menimba air untuk mengisi kolam-kolam di sebuah masjid berdekatan dengan makam itu. Setelah itu, ia pulang ke Tarim dengan hati dan jiwa yang telah dipenuhi bekal rohani.

  Beliau tidak lekang bersuluk untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t spertimana yang ditulisnya ‘ Perjalanan hati menuju pelurusan dan pengamalan akhlak keimanan, serta pentahkikan peringkat-peringkat keyakinan. Perjalanan hati itu haruslah dengan mendaki dari satu maqam yang telah dicapai ke maqam yang lebih tinggi, terus menerus tanpa henti sejak awal sampai akhir.Itulah perjalanan batin atas lintasan batin pula.’

Ibadah dan Mujahadah
  Tiada siapa yang pernah menyatakan al-Imam bersolat walau satu waktu bersendirian atau tidak bersolat pada awal waktu, bersolat dalam situasi bergopoh-gapah atau meninggalkan qiamullail. Malah al-Imam juga tidak berbicara ketika menunggu waktu solat dan amat marah jika ada yang  yang cuba berkata-kata pada waktu itu. Al-Imam menegaskan : ‘Kami keluar dengan penuh menghadirkan diri dan meninggalkan segala kerunsingan’.

Pada waktu subuh jumaat, al-Iman menunaikan solat Fajar di masjid al-Jami’ seterusnya beriktikaf hingga solat Jumaat demi mendapatkan keutamaan hadir ke masjid awal untuk solat Jumaat.Beliau tidur amat sedikit. Beliau melambatkan solat witir hingga hamper fajar. Ini disebabkan beliau tidur sedikit(qailullah) selepas solat qiamullail. Kemudian barulah beliau berwudhuk untuk solat witir sebelum subuh.

Alhabib juga memperbanyakkan puasa terutamanya pada hari Khamis, ayyam al-baid(hari asyura, hari Arafah dan enam hari dalam bulan Syawal. Amalan ini dilakukan secara konsisten sehinggalah terhentinya amalan ini apabila beliau sudah berumur dan lemah.

  Pada bulan Ramadhan, beliau menjelaskan kepada sahabatnya: ‘ Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan amal, kurangkanlah sementara majlis ilmu semata-mata untuk beribadah di bulan ini’. Seterusnya dapat dilihat orang ramai yang mengurangkan majlis ilmu kecuali selepas Asar.
Walaupun kuat beribadah dan bersuluk, Imam al-Habib tidak menunjuk-nunjuk amalan solehnya kepada orang lain kecuali dengan niat yang dibenarkan syarak, seperti menjadi contoh teladan yang baik kepada yang lain.

Sumbangan buat Ummah
  Murid-murid beliau datang dari segenap pelosok dan ramai juga dari luar negeri Hadramaut. Malah pada tahun 1080H yakni mencapai usia 36 tahun ketika beliau berangkat menuju al-Hadramain untuk menunaikan ibadah haji, ramai tokoh ulama di sana yang meminta ijazah daripadanya (Yakni pengukuhan dan izin untuk mengajarkan ilmu yang telah dikuasai oleh seseorang) sebagai pengakuan atas kedudukan al-Imam Abdullah al-Hadad yang tinggi, walaupun pada mulanya beliau sendiri bermaksud meminta daripada mereka.

  Beliau juga seorang pensyair yang berbakat. Ungkapan syair-syairnya sangat mempesona dan telah dibukukan dengan judul  al-Dur al-Manzun li Zawi’il ak-Uqul waal-Furhum.
Al-Imam Abdullah al-Hadad memenuhi panggilan Tuhannya pada malam Selasa 7 Zulkaedah 1132H pada usia 88 tahun dan dimakamkan di Zanbal, tempat pemakaman keluarga dan nenek moyangnya di pinggiran kota Tarim.

  Semoga Allah melipatgandakan pahala baginya, demikian pula atas kita semua. Amin, ya Rab al-alamin.

AL-IMAM ABDULLAH AL-HADDAD

Buta Mata Celik Hati   Al-Allamah al-Imam al-Sayyid al-Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad al-Alawi al-Husaini (lebih dikenali sebagai H...